Wednesday, October 28, 2009

Jambatan Runtuh: Penyiasat Belacan Di Perlukan



Cara pembinaan jambatan gantung menyeberang Sungai Kampar di Kuala Dipang dekat Kampar yang runtuh menyebabkan seorang murid lemas dan dua lagi hilang semalam hangat dipersoalkan oleh pelbagai pihak yang berada di tempat kejadian.

Kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan terhadap kejadian itu namun kalangan ibu bapa dan orang ramai yang berada di tempat kejadian, membuat andaian terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sebagai punca utama kejadian.

"Saya seperti tidak percaya apabila melihat saiz konkrit pelapik tiang jambatan... ia terlalu kecil dan tiada cerucuk," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.

**************************************************************

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat tempat kejadian (foto, bertopi) mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa siasatan yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai para pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil kerajaan negeri Perak.

Jawatankuasa itu akan membuat siasatan terperinci bagi menentukan fakta sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan dan membentangkan laporan itu kepada beliau, katanya.

"Kita akan bagi mereka tempoh masa yang sesuai supaya hal ini dapat dilaporkan dengan lengkap dan terperinci," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian pada Selasa.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas melawat tempat kejadian malam tadi turut mengarahkan siasatan terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sama ada mengikut spesifikasi.

Ulasan Tabuan : Eloklah di panggil pakar untuk menyiasat kejadian ini seperti pakar di dalam berita di bawah...gerenti kes akan selesai.......

WANITA DITUDUH MENJUAL TIDAK CUKUP PROTEIN – berita Harian

DUNGUN: Seorang pembungkus belacan dijatuhkan hukuman denda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah menjual belacan yang tidak cukup kandungan protein seperti yang tertera pada label produk itu, April lalu.

Rahani Ali, 56, dari Kampung Kuala Setiu Fikri, Bandar Permaisuri yang membungkus belacan menggunakan label Belacan Cap Udang dituduh menjual tiga bungkus belacan di premis perniagaan Kedai Runcit Aminah Mamat beralamat 780, Jalan UiTM, Kampung Sura Hujung, di sini, jam 11.25 pagi pada 7 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 13B (2) (e) Akta Makanan 1983, yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Dungun, Mohd Yusoff Othman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas rayuan meringankan hukuman, Majistret Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman denda ke atas Rohani RM600. Denda dibayar oleh suaminya Dzurudin Abdullah, 62.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan di mahkamah, pada jam 11.25 pagi pada 7 April lalu, Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Dungun, Rani Mohd Yatim melalui Badrulhisham Abidin, 31, membeli tiga bungkus belacan berharga RM2.50 setiap satu.

Pegawai berkenaan kemudian menghantar sampel belacan itu ke Jabatan Kimia di Jalan Cherong Lanjut, Kuala Terengganu untuk dianalisis dan mendapati belacan berkenaan hanya mengandungi 23.75 peratus sumber protein, sekali gus melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang mensyaratkan belacan perlu mengandungi tidak kurang 25 peratus protein.

Rahani ketika ditemui di luar mahkamah berkata, belacan itu dibekalkan seorang pemborong yang berniaga di Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu, yang menghantar bekalan belacan ke rumahnya di Kampung Gong Batu, Setiu untuk dibungkus, sebelum diambil semula pemborong itu untuk diedar dan dijual ke seluruh negeri ini.

"Saya sudah hampir lima tahun menjalankan perniagaan ini dan kebiasaannya membeli kira-kira 20 guni belacan seberat 50 kilogram setiap satu. Kemudian saya membungkusnya untuk dijual dengan harga RM2.50. Saya tidak pernah tahu pula mengenai kandungan protein belacan ini dan tidak tahu menjadi satu kesalahan jika protein kurang, " katanya.

Tabuan: Tengok lah betapa Pakar nya beliau mencari kesalahan mak cik pembungkus belacan ini, sehingga kan protein kurang sebanyak 1.25% pon dapat di kesan.